Assalamualaikum..



Selamat Datang....



ke Blog Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan



PAS Kawasan Rembau, Negeri Sembilan.



Thursday, March 3, 2011

JKM BERSIKAP ‘MAIN TARIK TALI’

JKM BERSIKAP ‘MAIN TARIK TALI’
Sinar Harian 4 Mac 2011

SEREMBAN – Sepatutnya pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang ke rumah membuat siasatan terhadap permohonan bantuan Japri Kassim, 55, untuk anak saudaranya, Nik Airani Suraya Nik Roselan, 12, yang juga orang kurang upaya (OKU) tetapi amat dikesali dengan hanya membuat panggilan telefon, JKM terus menolak permohonannya itu.

Alasan diberikan, bapa kepada empat anak ini mempunyai pendapatan keluarga lebih daripada hak kelayakan sedangkan permohonan itu dibuat untuk anak saudaranya.

Malah permohonannya mendapatkan kad OKU pada awal Januari lalu juga masih tidak diketahui statusnya walaupun segala dokumen yang diminta sudah dihantar.

“Sepatutnya pihak JKM datang ke ke rumah melihat sendiri keadaan anak saudara saya tetapi pegawai yang dipertanggungjawabkan sekadar telefon untuk mendapatkan maklumat.

“Isteri saya sudah buat permohonan sejak tahun lalu dan pihak berkenaan kata, November nak datang buat siasatan tetapi sampai sekarang tak datang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seremban Jaya, dekat sini.

Menurutnya, terbaru adik iparnya ada menghubungi pihak JKM untuk mendapatkan status sebenar permohonan namun pegawai JKM yang dipertanggungjawabkan memaklumkan permohonan diterima tetapi status tidak diketahui, sementara permohonan kad OKU pula tidak mempunyai rekod.

Japri berkata, jika permohonannya ditolak, sepatutnya pihak JKM sudah memaklumkan ia gagal.

“Permohonan ini untuk anak saudara saya yang terlantar di rumah sejak kecil kerana menghidap penyakit celebral hydrocaepulus.

“Saya dan isteri bersedia ambil tanggungjawab menjaganya kerana emaknya ibu tunggal dan kini bekerja di Kuala Pilah,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia memang tidak pernah ambil tahu mengenai bantuan disediakan untuk golongan OKU dan perlunya mendaftar.

“Bagaimanapun, ada rakan dan pemimpin masyarakat yang memaklumkan bantuan disediakan untuk golongan berkenaan.

“Saya bukannya mahu besarkan isu menggunakan saluran media untuk melaporkan masalah dihadapi tetapi kecewa kerana JKM seolah-olah menafikan hak yang sepatutnya diberi untuk OKU,” katanya.

Japri berkata, jika bantuan JKM diterima, sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban ibu kanak-kanak terbabit.

“Ibunya setiap minggu ada datang menjenguk Airani dan dia juga bagi duit belanja. Anak saya pun ada membantu.

“Jika ada bantuan JKM, dapat juga beli kerusi roda, lampin pakai buang dan lain-lain,” katanya.

Justeru Japri berharap, JKM tidak terus ‘bermain tarik tali’ berhubung status permohonan mendapatkan bantuan dan mendapatkan kad OKU untuk anak saudaranya itu.